fbpx

Wartawan hiburan bukan ‘kasta rendah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEGELINTIR masyarakat mungkin memandang kerjaya sebagai wartawan hiburan tidak segah wartawan dalam bidang politik, ekonomi, jenayah atau berita am.

Sebagai salah seorang wartawan hiburan, penulis juga tidak terkecuali daripada terkena ‘tempias’ dipandang rendah dan diperlekehkan netizen menerusi berita-berita yang ditulis.

Komen-komen seperti wartawan bodoh, sampah atau berita tidak penting sering menghiasi ruangan komen di laman sosial.

Bukan sahaja artis dihentam, malah si pembuat berita turut terkena makian netizen gara-gara berita yang ditulis itu dianggap tidak penting untuk ‘menjana ekonomi’ negara.

Bekas wartawan hiburan yang juga komposer, Rudy Imran berpendapat, ada segelintir masyarakat memandang sinis wartawan hiburan dise­babkan percaturan budaya dan agama.

Ujar Rudy atau turut dikenali sebagai Iman Imran, hiburan itu sendiri dianggap bersifat lagha (melalaikan).

“Dalam masyarakat Melayu Islam, mereka berpendapat hiburan itu bukan suatu perkara yang baik. Jadi secara tidak langsung wartawan hiburan turut terkena tempiasnya.

“Sebagai wartawan hiburan pula, kecaman atau kritikan yang diterima adalah bergantung kepada bentuk berita dan penulisan yang mereka sampaikan. Bukan tidak ada penulisan oleh wartawan hiburan yang boleh dikagumi,” katanya.

Kata penulis lagu Lelaki Teragung itu lagi, penulisan hiburan bukan sekadar gosip, tetapi boleh diulas menjadi hasil penulisan yang kreatif dan kritis.

“Berita berbaur hiburan bukan sekadar gosip atau cerita-cerita sensasi membabitkan selebriti, tetapi boleh digarap menjadi sebuah hasil yang mempunyai isi dengan sisi berbeza.

“Bahkan, penulisan berita hiburan juga boleh menjadi menarik jika dihasilkan dengan laras bahasa yang cantik,” jelasnya.

Pensyarah Kanan Komunikasi (Kewartawanan), Universiti Sains Malaysia, Dr. Nik Norma Nik Hasan pula berpendapat, kerjaya sebagai seorang wartawan hiburan tidak perlu dibanding-bandingkan dengan wartawan dalam bidang lain seperti politik, jenayah atau ekonomi.

“Bidang kewartawanan tidak boleh dibahagikan mengikut kasta. Wartawan hiburan berkasta rendah, manakala wartawan politik berkasta tinggi.

“Dalam kehidupan seharian manusia itu sendiri bukan setiap hari mereka mahu membaca bahan bersifat berat. Mereka juga inginkan hiburan,” katanya.

Nik Norma turut berpendapat, berita bersifat hiburan itu dilihat sebagai satu kehendak dan bukannya keperluan.

“Kalau tidak suka dengan penulisan bersifat hiburan, mereka boleh pilih untuk membaca penulisan lain.

“Tugas wartawan adalah untuk memberi maklumat kepada masyarakat dan maklumat yang disampaikan itu dalam pelbagai isu sama ada politik, ekonomi dan sebagainya,” ujar Nik Norma.

Nik Norma turut berpesan kepada wartawan hiburan supaya mengetahui objektif mereka menjadi wartawan dan berpegang etika kewartawanan.

“Sebagai seorang pensyarah kewartawanan, saya tidak kecewa jika anak-anak didik saya menjadi wartawan hiburan.

“Kita tidak boleh mengubah persepsi masyarakat. Apa yang penting. wartawan itu sendiri harus mengekalkan etika dalam penulisan,” katanya.

Justeru penulis berharap ja­nganlah dilabel wartawan hiburan dengan pelbagai gelaran hanya kerana kandungan berita yang ‘dihidangkan’ dianggap remeh pada fikiran mereka tetapi mungkin tidak kepada orang lain. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI