MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Donny Van De Beek terus berusaha untuk meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan kali ini biarpun diberi jaminan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama oleh pengurusnya, Ralf Rangnick.
Van De Beek terus gagal untuk menembusi skuad utama United sejak melengkapkan perpindahan bernilai £40 juta (RM226.84 juta) dari Ajax Amsterdam.
Pemain tengah itu dikaitkan dengan perpindahan secara pinjaman ke Everton dan Wolverhampton Wanderers tetapi kehadiran Rangnick memberikan harapan untuk dia kembali mendapat minit permainan yang lebih.
Bagaimanapun, setakat ini dia hanya diturunkan sekali di bawah kendalian Rangnick ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Young Boys dan hanya beraksi selama enam minit dalam aksi Liga Perdana Inggeris selepas enam perlawanan yang dikemudi pengurus dari Jerman itu.
Menurut laporan, Rangnick memberitahu Van De Beek bahawa beliau mahu pemain itu terus kekal bersama pasukan dan akan memberikan lebih banyak peluang beraksi kepadanya selepas ini.
Pemain berusia 24 tahun itu tidak ada masalah untuk kekal, namun dia masih ragu-ragu sama ada Rangnick mampu menunaikan janji tersebut.
Kegagalan mendapat minit permainan dalam skuad United memberi kesan kepada Van De Beek apabila dia digugurkan di dalam skuad antarabangsa Belanda di bawah kendalian Louis Van Gaal.
United sebelum ini bersedia melepaskan Van De Beek secara pinjaman tetapi kelab yang menginginkan khidmatnya perlu membayar yuran pinjaman serta menanggung sepenuhnya gaji mingguan pemain tersebut.
– AGENSI