IPOH – Laluan Persekutuan FT 239 Jalan Ampang-Jelapang atau susur keluar Jalan Kuala Kangsar ke Meru yang ditutup satu lorong ekoran mendapan tanah dijangka mengambil masa tiga bulan untuk dibaiki.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, kerja-kerja baik pulih itu dijalankan setelah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menerima peruntukan sebanyak RM624 ribu.
Katanya, kerja-kerja awalan seperti pembersihan tapak, menebang pokok, persiapan akses jalan masuk dan pembinaan platform kerja telah dijalankan di bawah permukaan jalan bagi tujuan pembaikan lubang benam (sinkhole) dengan kedalaman tujuh meter.
“Pihak JKR Perak juga telah berbincang dan membuat perancangan bersama juruperunding dan kontraktor pakar untuk pelaksanaan kerja dan jentera yang dijadualkan bermula minggu hadapan.
“Anggaran tempoh masa maksimum yang diberikan untuk kerja-kerja pembaikan jalan tersebut adalah tiga bulan,” katanya ketika ditemui di lokasi mendapan di sini hari ini. – K! ONLINE.