LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengakui, perbezaan kualiti antara pasukannya dengan Chelsea sangat ketara selepas tewas 0-2 pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Harapan Spurs untuk mara ke pentas final dilihat sukar selepas gagal mempamerkan prestasi terbaik apabila kalah menerusi jaringan Kai Havertz dan gol sendiri daripada pemain pertahanan, Ben Davies.
Conte mengakui, anak-anak buahnya berdepan kesukaran untuk mengekang asakan The Blues yang sememangnya memiliki kualiti tersendiri selain menegaskan, Spurs masih belum bersedia untuk melangkah ke final hujung bulan depan.
“Kami terpaksa akur tewas aksi ini kerana jelas Chelsea adalah pasukan yang lebih baik sepanjang 90 minit di atas padang. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana mereka adalah juara bertahan saingan Liga Juara-Juara.
“Saya percaya Spurs masih memerlukan masa untuk menyamai tahap Chelsea dan bersaing secara kompetitif merebut trofi pada masa akan datang. Ia tidak akan berlaku secara mendadak dalam tempoh enam bulan hingga setahun.
“Namun, ia tidak bermakna kami sudah mengibarkan bendera putih. Saingan masih berbaki 90 minit dan saya harap para pemain dapat memberikan prestasi yang lebih baik minggu depan,” katanya.
Sebagai rekod, Conte telah dilantik menjadi pengendali tetap Spurs dua bulan lalu untuk menggantikan posisi ditinggalkan oleh Nuno Espirito Santo yang dipecat ekoran gagal memberikan impak hebat pada awal musim ini. – AGENSI