PETALING JAYA – Pemuda UMNO menggesa kerajaan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaan parlimen bagi mengelakkan sebarang persoalan negatif berkaitan integriti dan ketelusan melibatkan badan terpenting itu.
Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dengan pembaharuan institusi berkenaan, ia sekaligus mengembalikan keyakinan rakyat dan persepsi pelabur kepada negara.
Selain itu katanya, ia turut memberikan kuasa perlantikan Ketua Pesuruhjaya (KP) sebagai hak prerogatif Parlimen selepas proses tapisan terperinci ‘due deligence’ dijalankan dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.
“Ini juga bagi mengelakkan wujud campur tangan pihak eksekutif sebagaimana amalan hari ini lantaran Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
“Dengan pembaruan ini juga bermakna perkhidmatan KP SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik sebagaimana pernah berlaku dalam pemerintahan kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, hasil siasatan Pengerusi Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa akaun dagangan miliknya digunakan adiknya untuk memperoleh saham juga tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.
Beliau menambah, kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan KP SPRM pula menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham.
Terdahulu, Azam Baki dalam satu sidang akhbar sebelum ini menafikan dakwaan isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan beberapa agensi media dan portal bebas sejak beberapa bulan lalu.
Jelasnya, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik beliau, Nasir menggunakan pembiayaan miliknya dan saham syarikat yang dibeli tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM. – K! ONLINE