fbpx

Rumah teres jadi makmal mini proses dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eng Lai (tengah) bersama pelbagai jenis dadah dan peralatan yang berjaya dirampas ketika sidang akhbar di IPD Sentul, dekat sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket dadah menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Mastiara, Batu 5, di sini sebagai makmal untuk memproses dadah terbongkar menyebabkan 15 individu ditahan pada Selasa dan Rabu lalu.

Lima wanita dan 10 lelaki berusia 24 hingga 65 tahun itu diberkas bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM305,298.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan empat individu dan soal siasat ke atas mereka kemudian membawa kepada serbuan di rumah berkenaan yang dijadikan makmal memproses dadah.

“Suspek mengaku makmal itu baru beroperasi tidak sampai sebulan dan disewa pada harga RM1,400 sebulan.  Pelbagai peralatan untuk memproses dadah dan bahan kimia dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, dekat sini hari ini.

Menurut beliau, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah lain di Taman City Jinjang di sini dan menahan tujuh individu bersama dadah jenis kanabis.

“Polis melakukan serbuan ketiga pada Rabu lalu di sebuah kondominium di Jalan Putramas dan memberkas seorang suspek. Dalam serbuan keempat kita mencekup tiga lagi individu di Taman Cheras Awana, Batu 9, dipercayai aktif mengedar dadah di Kajang dan Cheras,” katanya.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan 6.1 kilogram bernilai RM305,298. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI