SEORANG remaja dari California, Amerika Syarikat (AS) Jack Rico menggemparkan dunia apabila dia berjaya memiliki lima ijazah sarjana muda pada usia 15 tahun dan pencapaian itu dilakukannya dalam masa empat tahun sahaja.
Pada 14 Disember lalu, dia berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelima dalam jurusan Sejarah di Universiti Nevada, Las Vegas (UNLV) dengan purata nilai gred (GPA) yang mengagumkan iaitu 3.78.
Dia yang menerima biasiswa penuh daripada universiti tersebut berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi graduan paling muda di UNLV sejak 64 tahun penubuhan institusi pengajian itu.
Anak sulung daripada dua beradik itu membuktikan kemampuan luar biasa apabila dia berjaya memperoleh empat ijazah sarjana muda ketika berusia 13 tahun dari Kolej Fullerton, California dan juga merupakan pelajar termuda sejak lebih satu abad penubuhan kolej berkenaan.
“Sejujurnya saya suka semua kelas yang saya ambil.
“Majoriti kelas saya adalah melalui jabatan sejarah atau filem. Setiap kelas mengajar saya sesuatu,” katanya dalam satu temu bual.
Sebelum itu, Rico pernah bersekolah sehingga gred tiga.
Selepas gagal dalam gred tiga apabila sistem pembelajaran baharu diperkenalkan, keluarganya berpendapat, pembelajaran di rumah (home schooling) lebih sesuai untuk Rico dan adiknya, Julia yang setahun lebih muda daripadanya.
Dia mendapat bimbingan ibunya, Ru Andrade dan selepas beberapa tahun mengajar semuanya, Rico mula bergelut mencari perkara baharu untuk dipelajarinya.
“Saya telah memberikan semua yang saya ada dan pada usia 11 tahun, dia lebih bijak daripada saya.
“Saya tahu telah memberinya ‘semua yang saya ada’ dan dia mungkin memerlukan guru yang lebih baik,” kata Andrade.
Apa yang membanggakan, pada usia 11 tahun, Rico menduduki peperiksaan untuk penempatan di Fullerton College dan mendapat markah tinggi sehingga mereka meletakkannya dalam kursus peringkat kolej,” ujar ibunya.
Dalam tempoh dua tahun belajar di sana, dia memperoleh empat ijazah bersekutu iaitu jurusan Sejarah, Tingkah Laku Sosial, Seni dan Ekspresi Manusia serta Sains Sosial.
Pada ketika itu, dia menjadi orang termuda yang lulus dari sebuah kolej di California dengan memperoleh GPA 4.0.
Ketika berusia 14 tahun, Rico mula mengambil kelas di Universiti Nevada dan menamatkan pengajian satu semester lebih awal.
“Saya berasa bangga dengan diri sendiri.
“Ia merupakan satu perjalanan yang panjang dan rasa macam tidak percaya boleh melakukannya,” ujarnya.
Tambah remaja lelaki itu, dia menguruskan masa dengan baik dan memastikan menyiapkan tugasan tepat pada masanya.
Sekarang Rico sibuk membuat persiapan untuk ijazah sarjananya di universiti berkenaan.
“Ketika mula-mula menjejakkan kaki di sini, saya telah jatuh cinta dengan tempat ini.
“Saya mahu mendapatkan ijazah sarjana pula, tetapi tidak tahu apa yang saya mahu dapat.
“Justeru, saya akan mengaudit beberapa kursus dan mencari perkara lain yang menarik minat saya,” tuturnya yang memiliki personaliti ramah dan mesra itu.
Ketika ditanya tentang perancangan masa hadapan, jelas Rico, dia mahu melakukan pekerjaan yang boleh mendapat banyak wang dan menjaga adiknya sepanjang hayat.
Adiknya, Julia menghidap austisme dan dia berasa bertanggungjawab untuk menjaga dan menyayangi saudaranya itu sepenuh hati.
“Kadang-kadang saya menerima reaksi mengejutkan daripada seseorang, tetapi kebanyakan rakan sekelas benar-benar menerima saya.
“Mereka tidak melayan saya seperti kanak-kanak,” tuturnya.
Andrade mengetahui anaknya seorang yang istimewa sejak Rico berusia empat tahun apabila dia meminta untuk ke Rumah Putih sempena hari lahirnya.
“Saya memberitahunya kita boleh pergi jika dia tahu semua presiden AS dan dia berkata okay.
“Kira-kira seminggu kemudian, dia datang kepada saya sambil menangis dan memberitahu, dia telah berbohong mengenai semua presiden, tetapi sebenarnya dia menghafal naib presiden,” ceritanya.
Andrade sedar yang anak lelakinya mungkin lebih bijak daripadanya lantas cuba mengembangkan kebolehan Rico itu dengan memasukkan dia ke institusi pengajian lebih tinggi.
Ketika Rico berusia 11 tahun, Andrade yang bekerja sebagai penasihat olahraga di Kolej Fullerton mendapat tahu bahawa anaknya itu boleh mendaftar di kampus tersebut jika dia lulus peperiksaan penilaian.
Sehubungan itu, Rico menduduki peperiksaan untuk penempatan di Kolej Fullerton dan mendapat markah tinggi sehingga dia diberi peluang untuk ‘kemasukan istimewa’ dengan meletakkannya dalam kursus peringkat kolej.
Selepas menamatkan kolej tersebut yang ketika itu wabak koronavirus mula merebak pada musim bunga 2020, Rico memilih untuk menyambung pengajian di Nevada.
Keluarga itu memandu ke Nevada setiap minggu dan pada masa sama berulang-alik ke California supaya Julia boleh menyertai kumpulan pemain dram di California Selatan.
Bapanya Rick Rico berkata, dia seorang kanak-kanak yang merendah diri, disenangi ramai, suka bergaul dan seorang abang yang baik.
“Mungkin ada yang beranggapan kami mengambil masa kanak-kanaknya, tetapi sama sekali tidak.
“Dia masih kanak-kanak di mata saya, walaupun dia seorang yang bijak, tetapi di bila berada rumah Rico bermain permainan video dan melakukan pelbagai aktiviti seperti rakan seusianya,” katanya yang bekerja sebagai jurutera lokomotif.
Perkara itu diakui oleh Rico dengan memberitahu yang dia menikmati zaman kanak-kanak dan mempunyai kehidupan sosial sama seperti orang lain.
Katanya, dia tidak tertinggal apa-apa walaupun bersekolah di rumah.
Pada masa lapangnya pula, remaja itu suka bergaul bersama rakan dan keluarga serta memanfaatkan kreativiti dalaman dengan menulis skrip lakon layar.