MADRID – Real Madrid dilapor melancarkan bidaan bernilai £41.75 juta (RM236.76 juta) untuk memujuk Paris Saint-Germain melepaskan bintang sensasinya, Kylian Mbappe pada jendela perpindahan kali ini.
Mbappe memiliki baki kontrak selama enam bulan di Paris dan enggan menandatangani kontrak baharu, tetapi dia juga belum bersedia untuk menyatakan persetujuan dengan mana-mana kelab untuk prakontrak.
Perkembangan itu menyaksikan Real mahu menawarkan bidaan berkenaan untuk memastikan Mbappe menjadi milik mereka yang mutlak dengan harapan PSG menerimanya berbanding melepaskan pemain itu secara percuma pada Jun nanti.
Pada musim panas lalu, Real telah mengemukakan tawaran tiga kali ganda lebih tinggi berbanding ketika ini apabila sanggup mengeluarkan dana sebanyak £150 juta (RM850.63 juta), namun ditolak oleh PSG.
Ketika itu, PSG percaya mereka masih mampu memujuk Mbappe untuk menandatangani kontrak baharu dengan harapan mereka sekurang-kurangnya mampu untuk menjualnya pada harga yang lebih mahal biarpun pemain itu sudah tidak mempunyai hati bersama kelab itu.
Musim ini menyaksikan Mbappe berjaya meledak 18 gol dan 13 umpanan gol dalam semua pertandingan bersama gergasi Ligue 1 berkenaan.
Biarpun terus enggan menandatangani kontrak baharu, PSG tetap menurunkan Mbappe sebagai pemain utama mereka kerana ketajamannya di hadapan gol sangat diperlukan oleh mereka. – AGENSI