ISKANDAR PUTERI – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) merekodkan pencapaian baharu dengan menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang melepasi jumlah kendalian kontena melebihi 11 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEUs).
Rekod kendalian itu telah dicatatkan sehingga pukul 10 pagi, 25 Disember tahun lalu sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan PTP sebagai salah satu daripada 15 pelabuhan tersibuk di dunia.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, PTP mencatatkan jumlah kendaian sebanyak 11.2 juta TEUs pada akhir 2021 dengan nilai pertumbuhan 14 peratus berbanding 9.8 juta TEUs pada 2020.
“Ketika pelabuhan-pelabuhan lain di seluruh dunia masih berada di dalam situasi yang kurang stabil akibat daripada pelbagai isu seperti kesan operasi perniagaan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan.
“Ini menyebabkan kos pengangkutan yang meningkat, kesesakan pelabuhan, kekurangan bekalan peralatan dan tenaga kerja.
“Namun demikian, PTP telah menunjukkan tahap pencapaian yang tinggi dalam mengharungi cabaran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Meraikan Pencapaian PTP 2021 di Tanjung Pelepas di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen.
Ka Siong berkata, pertumbuhan PTP yang luar biasa selama ini jelas menunjukkan nilai tambah sektor maritim kepada kesejahteraan ekonomi Malaysia serta kepentingan ekonomi perdagangan kepada negara.
“Kerajaan Malaysia akan terus menyokong setiap inisiatif pembangunan industri untuk meningkatkan kapasiti terminal pelabuhan, membantu membangunkan sumber manusia, memastikan keselamatan kapal dan navigasi dan terus memberikan perkhidmatan yang cekap,” katanya.
Sementara itu, Hasni berkata, PTP mempunyai rekod prestasi yang cemerlang bukan sahaja dalam industri maritim dan logistik tempatan tetapi juga kejayaannya dalam membangunkan masyarakat sekitar khususnya di kawasan Gelang Patah.
“PTP bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan terminal moden dan terkini, ia juga memberi peluang besar kepada masyarakat setempat dari segi peluang pekerjaan dan pelbagai rangsangan pembangunan ekonomi dan sosial yang lain,”katanya.-K! ONLINE