SHAH ALAM – Seramai 30 pelajar jurusan pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam menggembleng tenaga bagi menyediakan makan malam untuk 1,000 penduduk Bukit Lanchong di sini yang dilanda banjir baru-baru ini.
Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Dr. Sharifah Intan Sharina Syed Abdullah berkata, pelajar tahun satu dan tahun akhir itu dibawa menyertai program tersebut sebagai salah satu aktiviti ‘outreach’ yang diperlukan dalam jurusan berkenaan.
“Memandangkan mereka akan menjadi tenaga pengajar dan bergaul rapat dengan masyarakat, aktiviti sebegini dapat memberikan pendedahan awal kepada mereka bagi menghadapi serta memikul tanggungjawab apabila mula bertugas,” katanya.
Program penyediaan makanan untuk mangsa banjir di Bukit Lanchong di sini itu dianjurkan pasukan sukarelawan, What A Waste bersama MSS Consultancy & Resources dan Jo Courtyard.
Pasukan sukarelawan itu telah berada di Balai Rakyat Bukit Lanchong sejak 3 Januari lalu dengan menyediakan 2,000 pek makanan tengah hari dan malam kepada penduduk di situ.
Sementara itu, Kolonel (B) Johari Idris daripada Jo Courtyard yang menjadi tunggak utama ‘central kitchen’ What A Waste berkata, kehadiran pelajar-pelajar UPM amat bermakna kerana dapat meringankan sedikit tugas mereka.
“Kami amat berterima kasih atas inisiatif dan pertolongan mereka. Kami juga mengalu-alukan apa jua bantuan yang boleh diberikan sama ada oleh pihak korporat atau individu,” katanya. – K! ONLINE