KITA sudah berada selangkah di tahun 2022 dengan melewati pelbagai pahit dan manis liku-liku kehidupan pada 2021.
Setiap tahun kita sentiasa menanam azam untuk dicapai dengan pelbagai impian dan mimpi indah.
Ada dalam kalangan kita mungkin masih membawa impian tahun lepas dengan membuat perubahan diri yang drastik sebagai satu misi baharu pada tahun ini, tetapi masih ada yang terkial-kial tidak keruan mencari arah yang patut dimulakan.
Sedarkah kita akan azam yang sering tidak kesampaian akibat tiadanya fokus dan komitmen tinggi.
Mahu tidak mahu, sebagai insan yang inginkan perubahan positif dalam kemajuan diri memerlukan beberapa suntikan ‘dos penyelamat’ azam agar tidak menjadi Mat Jenin moden yang hanya bermimpi di siang hari dengan semangat hangat-hangat tahi ayam yang hanya wangi semerbak di awal tahun.
Dos pertamanya, diri perlu diasak dengan muhasabah diri yang padu untuk dijadikan rutin harian dalam mencari makna diri sebenarnya.
Rasulullah SAW menyifatkan orang yang sentiasa bermuhasabah diri sebagai insan yang bijak.
Daripada Syaddad Aus, Rasulullah SAW bersabda: Orang bijak adalah mereka bermuhasabah dirinya sendiri dan beramal untuk kehidupan selepas kematian. (Hadis riwayat Tirmizi).
Kita selaku hamba Allah, sudah tentu mengetahui dengan jelas apa sebenarnya tujuan hidup di dunia dan akhirat dengan mentaati segala perintah dan larangan Allah seperti termaktub dalam Rukun Islam dan Rukun Iman.
Tuntasnya, kita mestilah selalu periksa diri tentang berjaya atau tidak melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa, anak, pelajar, pekerja atau majikan yang baik.
Kita mesti sentiasa peka dengan komitmen yang dipikul secara lebih optimum dan bertanggungjawab untuk menuju ke tahap lebih baik.
Allah berfirman yang bermaksud: “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.” (Surah al-Anbiya, ayat 47).
Sebenarnya, setiap perbuatan manusia walau sekecil-kecil atau sebesar-besarnya akan dihisab di akhirat nanti.
Orang yang sentiasa takut akan kematian yang akan kunjung tiba serta hari akhirat akan sentiasa berwaspada dalam setiap langkah dan tutur katanya.
Dia akan lebih diam daripada bercakap andainya mengetahui segalanya akan diperhitungkan kelak seperti yang dipesan oleh Saidina Umar al-Khattab supaya mempersiapkan diri untuk hari perhitungan yang besar di hadapan Allah Yang Maha Agung.
Dos kedua adalah mencari sahabat sejati yang benar-benar jujur dengan memberikan panduan dan nasihat yang baik mengenai azam untuk berubah.
Betapa pentingnya memilih sahabat yang baik sehinggakan Baginda Rasulullah SAW menyebut di dalam hadisnya: Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin lain, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin lain, ia membantunya saat kesulitan serta menjaganya (membelanya) dari belakang. (Hadis riwayat Abu Daud).
Terdapat ayat al-Quran yang menyentuh mengenai peranan dan pengaruh sahabat yang baik, antaranya firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 119, maksudnya: Wahai orang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama orang benar.
Pendek kata, seseorang sahabat yang ikhlas dalam perhubungan boleh menentukan corak kehidupan kita selari dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seseorang itu akan mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa jadi temannya.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Dos ketiga pula dengan mengamalkan usaha dalaman yang berbentuk doa dan amalan zikir kepada Allah serta selawat kepada Rasululullah SAW agar kita sentiasa istiqamah dengan azam yang di pupuk awal tahun.
Sesungguhnya, doa itu adalah satu senjata bagi orang mukmin lebih-lebih lagi dalam keadaan kesulitan dari segala arah seolah-olah tidak sempat kita menarik nafas.
Biarkan semuanya berjalan seadanya dan menyerahkan kembali diri ini kepada empunya hak iaitu Allah sebagai satu tanda keamanan dan keyakinan diri bahawa kita tiada tempat untuk memohon pertolongan dan perlindungan selain Allah.
Dalam pada itu, dos keempat adalah memperbanyakkan istighfar untuk menjadikan hari baharu yang dilalui sentiasa lebih baik dari semalam serta tidak mengulangi kesilapan sama.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Mukmin tersengat bisa dari lubang (binatang berbisa) yang sama sebanyak dua kali.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dengan kudrat semangat yang masih berbaki, kita masih lagi berupaya untuk bangkit kembali memahatkan seteguh azam agar segala impian di tahun 2022 akan tercapai dengan rahmat Allah.
Dr. Zaizul Ab. Rahman ialah
Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan juga Kaunselor Berdaftar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.