PUTRAJAYA – Mangsa banjir yang terkesan teruk di seluruh negara kini boleh melakukan pembelian 15 jenis produk elektrik dalam bentuk e-rebat bernilai RM500 bermula hari ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini sebanyak 1,100 pekedai sudah berdaftar untuk program khas tersebut dan bilangan itu akan ditambah lagi untuk memudahkan mangsa.
“Bantuan khas ini antara inisiatif kerajaan termasuk pemberian tunai mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah selain pelbagai inisiatif lain untuk meringankan beban ditanggung.
“Pelaksanaannya ini menggunakan Program Kemampanan Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA),” katanya pada sidang akhbar selepas Program Bantuan Mangsa Banjir Keluarga Malaysia di kementeriannya hari ini.
Program itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 29 Disember lalu bagi penduduk terjejas menggantikan peralatan elektrik rumah yang rosak.
“Barangan itu tidak terikat kepada syarat label cekap tenaga namun perlu mematuhi piawaian keselamatan elektrik dan mereka yang berminat boleh menebus secara rebat elektronik sama ada beli terus di kedai elektrik atau pasar raya berdaftar selain portal e-dagang iaitu Shopee, Lazada atau PG Mall.
“Untuk bantu pekedai agar lancar aliran pusingan modal tunai, kita ada persefahaman dengan Kementerian Kewangan bagi selesai isu penebusan dalam masa tujuh hari,” kata Takiyuddin.