fbpx

‘Kediaman, bengkel ditenggelami air, rugi RM100,000’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN rumah Yuszaini yang ditenggelami air selepas ban Sungai Muar Kampung Spang Loi di Segamat pecah, Ahad lalu.

SEGAMAT – Bagai dilanda badai tsunami.

Itu perumpamaan yang boleh disimpulkan oleh penduduk Kampung Spang Loi di sini selepas penempatan tersebut ditenggelami banjir hingga paras bumbung rumah, Ahad lalu.

Rata-rata mereka seolah-olah hilang ‘arah’ mengenang nasib diri yang tinggal sehelai sepinggang apabila banyak peralatan rumah rosak dan gagal diselamatkan.

Seorang penduduk Yuszaini Yahya, 48, berkata, bah yang melanda kampung mereka di luar jangkaan menyebabkan dirinya kerugian melebihi RM100,000 selepas rumah dan bengkel motosikal ditenggelami air.

Katanya, selain hujan yang turun lebat dan berlarutan, ban Sungai Muar yang pecah menambahkan lagi derita penduduk apabila air melimpah membanjiri kampung berkenaan.

“Semua berlaku terlalu cepat, saya dan isteri, Sarinah Ibrahim, 42, ingat sempat selamatkan semua barang-barang di rumah tetapi tidak, kerana air naik terlalu cepat. Rumah pun nampak bumbung sahaja.

“Mujur kereta sempat dialih­kan ke tempat yang tinggi. Namun, ada jiran yang berada di kawasan rendah gagal selamatkan kenderaan mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Spang Loi di sini.

YUSZAINI

Yuszaini berkata, tiada kata yang dapat digambarkan melihat keadaan rumah kerana kediamannya itu dibina menggunakan sepenuhnya wang simpanannya selama ini.

“Lebih kecewa apabila beberapa motosikal pelanggan di bengkel juga tidak dapat di­selamatkan selain banyak bara­ngan yang turut rosak kerana gagal diselamatkan,” ujarnya.

Justeru dia memohon kerajaan negeri untuk mendirikan ban sungai yang kukuh dan mengikut piawaian yang betul selepas ini serta tidak menggunakan pasir sungai seperti sebelum ini.

“Peruntukan RM5 juta yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini diharap dapat digunakan sebaiknya dengan melantik kontraktor profesional untuk membina ban ini.

“Jangan lantik kontraktor yang acuh tak acuh kerjanya. Ini soal nyawa dan keselamatan penduduk di sini. Bukan boleh dibuat sambil lewa,” luah bapa kepada empat cahaya mata itu.

Ban Sungai Muar yang pecah tersebut dianggarkan berukuran kira-kira 4.5 meter.

Ahad lalu, kira-kira pukul 2.30 pagi, penduduk kampung digemparkan dengan kejadian ban Su­ngai Muar yang pecah menyebabkan air deras menenggelamkan Kampung Spang Loi itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob telah meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membina ban baharu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd. Amirul Noor Ismail, 31, berkata, dia tidak sempat memindahkan barang-barang berharga berikutan air naik begitu cepat.

“Tak sempat nak buat apa, kalau sebelum ini, banjir tidaklah teruk, kali ini rumah tinggal bumbung sahaja.

“Perabot, peralatan elektrik semua tak sempat selamat, kami bawa dokumen penting dan dua anak ke pusat pemindahan,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Gemereh di sini semalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI