fbpx

Jual arak tiruan serendah RM30

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vijaya (dua kiri) menunjukkan arak tiruan yang diproses sindiket tersebut pada sidang akhbar hari ini. - Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Kegiatan satu sindiket memproses dan menjual arak tiruan serendah RM30 menggunakan botol terpakai sejak dua tahun lalu terbongkar hasil serbuan di dua buah rumah di Jalan Haji Jabar, Meru, kelmarin.

Dalam serbuan Ops Kontraban kira-kira pukul 4.20 petang itu berjaya merampas 500 botol dan 254 tin arak pelbagai jenama dianggarkan RM100,000.

Turut ditahan seorang wanita warga Myanmar berusia 21 tahun yang bertindak sebagai kerani sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, berdasarkan siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah membeli botol-botol terbuang daripada kelab malam di sekitar Lembah Klang sebelum digunakan balik bagi pengisian tiruan.

Katanya, sindiket juga telah mengubah salah sebuah rumah sebagai kedai minuman arak tiruan dengan menyasarkan jualan kepada warga Nepal dan India selain tempatan.

“Mereka didapati menjual arak berkenaan pada harga serendah RM30 iaitu tiga kali ganda lebih murah daripada yang asli seperti jenama McDowells.

“Antara jenama tiruan yang turut dijual mereka adalah Grand Royal, Pheonix, Atlas dan Club 99,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kata beliau, bagi memudahkan penjualan tersebut didapati sindiket ini menggunakan rumah bersebelahannya sebagai lokasi pemprosesan.

Ujarnya, ini susulan penemuan tiga periuk besar pelbagai saiz dan mesin kompresor, empat tong dan sejumlah cecair pati arak serta pelekat jenama arak.

“Hasil siasatan mendapati arak-arak itu diproses oleh dua lelaki termasuk warga Myanmar berusia 30 dan 40an yang masih lagi dikesan pihak polis.

“Semakan terhadap wanita warga asing yang ditahan itu mendapati telah tinggal lebih masa di negara ini sejak lebih dua tahun lalu. Dia kini direman 14 hari,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI