fbpx

Insiden tembak ahli perniagaan, bapa 3 anak kekal ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang penganggur yang juga bapa tiga anak kekal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas pertuduhan membabitkan pemilikian senjata api dan kejadian tembakan terhadap seorang ahli perniagaan wanita warga Singapura sembilan tahun lalu.

Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah yang menolak rayuan Mohd. Nazarudin Khairudin, 33, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

Dalam penghakiman, panel tersebut berpendapat bahawa isu kecacatan dalam pertuduhan seperti yang dibangkitkan pihak pembelaan tidak memperjudiskan perayu dalam kes ini.

“Walaupun terdapat kecacatan pada pertuduhan tersebut namun setelah meneliti rekod-rekod rayuan dan mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak, kecacatan dalam pertuduhan tidak memperjudiskan perayu. Malah mengikut rekod rayuan semasa diperingkat pembelaan perayu faham dan tahu pertuduhan itu.

“Oleh itu mahkamah mendapati rayuan perayu tiada merit dalam rayuan perayu terhadap sabitan serta hukuman (gantung) yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi adalah selamat dan dikekalkan,” kata hakim Hanipah.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazarudin bersama-sama rakan sejenayah Azman Aini, 39, yang telah meninggal dunia dengan semunasabahnya mengetahui bahawa lelaki itu memiliki senjata api dan telah melepaskan tembakan dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan kepada Lee Siaw Khie Jane.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Middle Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor pukul 3.40 petang pada 22 April 2013 yang didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (akta 37) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan gantung sampai mati.

Terdahulu pada 20 Jun 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Mohd. Nazarudin selepas didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

Ujar hakim Mahkamah Tinggi itu, meskipun perayu tidak melepaskan tembakan namun dia gagal menghalang rakannya (Azman) daripada melepaskan tembakan atau menghalang dirinya daripada melakukan tindakan jenayah.

Dalam prosiding hari ini, Mohd. Nazarudin diwakili oleh peguam Azamuddin Abd. Aziz manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairuz Johari dan Mohd. Zain Ibrahim.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang berada dalam kereta Mercedes-Benznya telah didatangi oleh dua lelaki bermotosikal sambil mengarahkannya keluar daripada kenderaan.

Azman yang menunggang motosikal mengacukan sepucuk pistol ke arah wanita itu manakala perayu selaku pembonceng turun daripada motosikal itu sambil cuba membuka pintu bahagian pemandu.

Perayu ditangkap pada 19 Ogos 2013 di rumah ibu mertuanya dan merampas sepucuk pistol jenis Walter P99 AS yang terselit di pinggangnya serta satu magazin berisi lima butir peluru selepas polis mengesahkan rakannya Azman merupakan individu yang ditembak mati dalam satu kejadian tembak menembak di kawasan perkuburan di Paya Jaras.

Hasil ujian balistik dan analisis terhadap pistol berkenaan menunjukkan peluru yang dijumpai dalam kereta mangsa adalah sepadan dengan peluru yang dilepaskan semasa cubaan merompaknya.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI