KUALA LUMPUR: Penyanyi Mark Adam melihat tempoh kuarantin selepas positif Covid-19 sebagai muhasabah diri berdepan dugaan sekaligus lebih menghargai detik berharga bersama keluarga.
Katanya, selama 10 hari memperuntukkan masa di rumah digunakan sebaik-baiknya untuk mendapatkan rehat mencukupi selain mengatur semula jadual kerjaya dan aktiviti kebajikan yang dirancang sebelum ini.
“Alhamdulillah hari ini saya sudah boleh potong gelang. Kesihatan saya juga sudah bertambah baik memandangkan hanya pada tiga hari pertama saja saya mendapat gejala demam dan selsema.
“Apabila berdepan ujian ini, saya kena kuat sebab mahu isteri yang turut disahkan positif beberapa hari selepas itu tidak patah semangat. Semua ini sudah tertulis, serapi mana kita ambil langkah berjaga, kita tak boleh elak.
“Paling penting kita sudah ambil langkah perlu sama ada sebelum mahu pun selepas fasa pemulihan ini. Keadaan isteri juga bertambah baik. Tempoh kuarantin isteri pula berakhir semalam.
“Apa pun semua pengalaman pahit manis sepanjang tempoh ini terutama pada pengakhiran 2021 memberi 1001 kenangan untuk kami bermuhasabah untuk jadi insan lebih baik,” katanya kepada K! Online.
Mark disahkan positif Covid-19 pada 25 Disember lalu selepas misi serahan sumbangan untuk mangsa banjir di dua kawasan di Lembah Kelang, manakala isterinya, Norazah Redzuan atau dipanggil Ezan positif sehari kemudian.
Sementara itu, tidak sabar untuk memulakan tugasan yang terhenti sebelum ini, Mark yang juga finalis program Hijrahkan Laguku terbitan TV Al Hijrah hanya mampu bersyukur layak ke pentas akhir pada 8 Januari ini.
Tidak dapat beraksi di peringkat separuh akhir minggu lalu disebabkan masih kuarantin, penyanyi Pencuri ini sudah sedia untuk bertarung bersama tiga lagi rakan seperjuangan.
Pada sesi separuh akhir, tempat Mark digantikan penyanyi Adeeb Nahar sebagai pengganti yang juga kenalan lamanya. Dia membawakan lagu Cahaya Mata nukilan bersama Mark dan isterinya nyanyian asal Freddie Aguilar.
Selain Mark yang juga guru muzik, peserta akhir Hijrahkan Laguku yang dijadualkan berlangsung pada 8 Januari ini turut menyaksikan kemaraan Datuk Nash, Iwan Shahman serta Shahir Zawawi.
Katanya lagi, ketika rakannya itu muncul di kaca TV dia dan isteri menitiskan air mata dihimpit rasa syahdu mendengar alunan senikata berkisar mengenai cahaya mata.
“Sebenarnya lirik berkenaan adalah ilham Ezan. Walaupun saya tidak dapat menyampaikannya, mendengar Adeeb mendendangkannya pada malam itu tetap membuatkan kami sebak.
“Ia berkisar harapan kami. Jadi sedikit sebanyak lagu yang punya makna tersendiri itu sangat menyentuh hati kami berdua. Selain Cahaya Mata ini, dari episod pertama program ini kesemua lirik saya buat dengan Ezan.
“Apa pun perincian untuk malam kemuncak nanti termasuk pemilihan seleksi lagu masih belum diputuskan. Saya dimaklumkan setiap penyanyi akan bawa lagu solo dan berduet.
” Bagi saya kalah menang itu cerita lain kerana paling utama saya bersyukur diundang terbabit dalam pertandingan ini, dapat peluang bekerja dengan penyanyi otai malah
menimba banyak ilmu baharu,” katanya lagi.
Terdahulu, Hijrahkan Laguku adalah satu-satunya program berkonsepkan hiburan Islamik apabila menampilkan artis yang telah berhijrah membawakan lagu popular dengan gubahan semula lirik menjurus kepada dakwah.
Peringkat awal ia disertai lapan peserta iaitu Datuk Nash, Iwan, Mark, Shahir, Pengeran Adam, Zaf VE, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Rahmad Mega.
Manakala barisan juri pula diketuai juri tetap, Fauzi Marzuki, dibantu oleh Isman Hijaz dan ditemani penceramah jemputan Ustaz Zul Ramli.
Program yang dihoskan oleh Faizal Ismail bergandingan dengan Bell Ngasri itu menggunakan format 80 peratus daripada juri tetap dan bakinya bersandarkan undian penonton.
Kemuncak Hijrahkan Laguku bakal berlangsung malam esok bermula jam 9 malam.
Ends