fbpx

‘Harga dedak sudah naik empat kali’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERAJAAN diminta tangani segera kenaikan harga dedak haiwan ternakan sehingga membebankan pengusaha dan orang ramai. – GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menggesa kerajaan supaya mewujudkan industri penghasilan makanan haiwan ternakan secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan daripada seluruh penternak dalam negara.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, negara tidak boleh lagi bergantung kepada dedak yang diimport dari luar negara berikutan harga pasarannya tidak menentu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan peningkatan harga makanan haiwan ternakan itu sejak kira-kira setahun lalu.

“Kenaikan harga dedak yang kini dijual lebih RM100 sekampit dengan berat 50 kilogram (kg) semakin membebankan penternak.

“Sejak tahun lalu, harga dedak ternakan naik empat kali dan hampir setiap hari saya terima aduan dan keluhan daripada penternak berkaitan kenaikan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, selain harga import dedak tinggi, kenaikan harga juga dipercayai berpunca daripada penurunan mata wang negara.

Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya telah beberapa kali mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan industri makanan ternakan negara termasuk dalam penghasilan dedak.

“Kita belum nampak sebarang usaha yang serius ke arah itu dan berharap kerajaan dapat bertindak segera.

“Kerajaan mungkin boleh keluarkan geran kepada anak-anak muda untuk tanam dan hasilkan makanan asas untuk pertanian seperti jagung iaitu salah satu bahan yang digunakan dalam penghasilan dedak,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga boleh menetapkan harga kawalan dengan menetapkan harga siling bagi makanan haiwan ternakan atau dedak supaya tidak terus naik dan membebankan penternak.

Kosmo! pada 3 Januari lalu melaporkan kenaikan harga dedak yang dikaitkan dengan ketidakstabilan harga ayam terus berlaku pada tahun baharu ini sekali gus mengundang keluhan dalam kalangan penternak. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI