SEREMBAN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen untuk tujuan pelaburan berjumlah RM449,700 tiga tahun lalu.
Tertuduh, B V Jagdeep Singh, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Diana Md. Razali.
Bapa tiga anak itu didakwa bersetuju menerima deposit daripada seorang lelaki menerusi enam transaksi bank dengan setiap satunya berjumlah RM25,200 hingga RM235,000, sebagai suatu pelaburan yang mana tertuduh tidak mempunyai lesen bagi tujuan tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di Maybank Bandar Nilai di sini pada 25 Jun hingga 17 Ogos 2019 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri Anak Mawan menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 berserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Harjinder Singh Sandhu merayu jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes akan disebut semula 14 Februari depan.-K!ONLINE