MELAKA – Melaka River Cruise (MRC) mengalami kerugian lebih setengah juta selepas terpaksa menutup operasi susulan fenomena air pasang dan hujan lebat yang menyebabkan paras air Sungai Melaka naik mendadak baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Datuk Murad Husin berkata, operasi MRC ditutup selama sembilan hari selepas paras air sungai melebihi 1.1 meter.
Katanya, anggaran kerugian sepanjang tempoh penutupan itu melebihi RM500,000 berdasarkan kutipan harian antara RM30,000 hingga RM110,000.
“Pada Disember sehingga awal Januari ini, perkhidmatan bot pelancongan River Cruise terpaksa ditutup kerana paras dan kelajuan air Sungai Melaka yang berada di tahap berbahaya.
“Bot-bot yang disediakan tidak dapat melepasi jambatan disebabkan paras air telah melebihi 1.1 meter dan susulan penutupan itu kita hilang pendapatan lebih RM500,000,” katanya.
Tambahnya, operasi bot rekreasi itu bagaimanapun telah dibuka semula semalam. – K! ONLINE.