KOTA KINABALU – Hanya 55 orang mangsa banjir membabitkan 15 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 9 pagi ini.
Jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding 236 mangsa daripada 56 keluarga sehingga pukul 8 malam tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Sabah) berkata, semua PPS yang masih aktif adalah dua di daerah Telupid dan satu PPS di Paitan.
“Seramai 35 mangsa banjir melibatkan 11 keluarga masih berada di dua PPS bagi daerah Telupid. PPS Dewan Kampung Maau menempatkan 20 mangsa daripada lima keluarga manakala Masjid Kampung Gana Jati terdapat 15 mangsa banjir daripada enam keluarga yang kini masih berada di PPS terbabit.
“Daerah Paitan hanya terdapat satu PPS yang masih aktif ketika ini iaitu PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol. PPS ini masih terdapat seramai 20 orang penduduk terjejas banjir membabitkan empat keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Jurucakap APM Sabah menasihatkan semua penduduk di kawasan rendah atau berhampiran dengan sungai agar sentiasa berhati-hati. – K! ONLINE