RANTAU PANJANG – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM3.7 juta sepanjang musim tengkujuh melanda sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi Op Benteng Covid-19 bermula dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor, Tumpat.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, nilai rampasan itu melibatkan penugasan sepanjang 20 hari sejak mengambil alih tanggungjawab itu pada 16 Disember sehingga semalam.
Menurutnya, rampasan melibatkan makanan dan haiwan menjadi penyumbangan tertinggi kepada kejayaan tersebut.
“Kesemua barangan itu dibawa masuk secara tidak sah menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya kepada pemberita selepas turun padang menyampaikan bantuan banjir bersama Syarikat Al Tamim World Sdn. Bhd di Kampung Tersang di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan Al Tamim World Sdn. Bhd Datuk Ku Ardanan Dollah dan lebih 50 penduduk di kawasan itu menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian.-K! ONLINE