MELBOURNE – Kontroversi pemain tenis No.1 dunia, Novak Djokovic terus berlanjutan apabila kini jaguh Serbia itu dilarang masuk ke Australia.
Tindakan tersebut terpaksa diambil oleh Australia dengan membatalkan visa Djokovic apabila tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara itu.
Juara sembilan kali Terbuka Australia itu gagal melepasi kawalan ketat pihak berkuasa Australia sekali gus dihantar pulang ke negaranya bersama pasukannya semalam.
Sebelum ini, Djokovic mengakui dapat menyertai kejohanan Grand Slam Terbuka Australia kerana mendapat pengecualian kesihatan selepas berkeras enggan mendedahkan status pengambilan suntikan vaksin Covid-19.
Tindakan itu menimbulkan reaksi kurang senang warga Australia yang telah mengharungi perintah berkurung dan pelbagai halangan sepanjang dua tahun lalu bagi mencegah penularan virus berkenaan.
“Djokovic gagal memberikan bukti yang diperlukan untuk memenuhi syarat kemasukan ke Australia dan visanya kemudian telah dibatalkan.
“Bukan warganegara yang tidak mempunyai visa kemasukan atau visa dibatalkan akan ditahan dan dihantar pulang.
“Australia akan terus memastikan mereka yang tiba di sempadan kami mematuhi undang-undang dan syarat kemasukan yang telah ditetapkan,” kata Australian Border Force.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menegaskan, polisi ketat di sempadan negaranya amat penting dalam memastikan kawalan penularan Covid-19.
“Peraturan tetap peraturan, terutama yang berkaitan dengan sempadan kami. Tidak ada sesiapa yang dapat mengatasi peraturan ini,” kata Morrison.
Kegagalan Djokovic turut mendapat reaksi kurang senang Presiden Serbia, Aleksandar Vucic dan menyelar Australia atas layanan ke atas bintangnya itu. – AGENSI