fbpx

Anugerah MACP kembali meraikan pengkarya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pengkarya muzik yang memenangi kategori masing-masing sempena penganjuran Anugerah MACP 2021 baru-baru ini.

SELEPAS setahun tergendala akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya penganjuran Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) 2021 selamat dianjurkan baru-baru ini.

Sesuai dengan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, penganjuran majlis berkenaan diadakan dalam skala yang kecil bertempat di The Bee, Publika.

Pun begitu, majlis yang dianjurkan dengan penuh meriah tersebut menyaksikan banyak kategori diraikan iaitu Lagu Melayu Dendangan Terbanyak, Lagu Cina Dendangan Terbanyak, Lagu Inggeris Dendangan Terbanyak, Lagu Tamil Dendangan Terbanyak dan Lagu Luar Negara Dendangan Terbanyak.

Turut disenaraikan adalah kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi, Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi, Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi dan Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi.

Lebih mengujakan, Anugerah MACP edisi kali ini menyaksikan penyanyi dan komposer muda berbakat besar, Zynakal diangkat selaku penerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 23, pernah menghasilkan karya untuk nama-nama popular lain sepanjang karier yang dibinanya sejak 2018 iaitu Ismail Izzani dan Haqiem Rusli.

Menurut Pengerusi MACP Berhad, Datuk M. Nasir, penganjuran anugerah tersebut sebagai pengiktirafan serta memberi semangat dan dorongan kepada pengkarya tanpa berputus asa.

“Jadikan anugerah ini sebagai batu loncatan untuk semua ahli pencipta demi menghasilkan lebih banyak karya bermutu tinggi sejajar dengan kehendak pasaran semasa,” kata beliau.

Bagi Pengurus Besar MACP Berhad, Mary Yap, meskipun dianjurkan dalam skala kecil berikutan kekangan semasa akibat Covid-19, namun pihaknya berharap agar majlis tempoh hari dapat mengubat kerinduan semua ahli.

“Setiap tahun anugerah ini diadakan demi meraikan karya-karya ahli. Meskipun dianjurkan dalam skala kecil dan hanya melibatkan calon pemenang serta pengurusan tertinggi MACP, tetapi kami berharap penganjuran kali ini dapat mengubat kerinduan.

“Selalunya MACP akan menjemput kesemua ahli bagi memeriahkan majlis anugerah ini. Apakan daya, situasi semasa yang membimbangkan memaksa kami mengambil kira keselamatan awam sekali gus mengelakkan penularan Covid-19,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI