fbpx

Si cilik tunjuk aksi tebar roti canai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusra tidak kekok menebar roti canai di gerai makan milik keluarganya di Balai Baru dekat Padang Besar semalam.

PADANG BESAR – Telatah si cilik menebar roti canai di gerai makan milik keluarganya yang terletak berdekatan persimpangan lampu isyarat Balai Baru dekat sini, pada musim cuti sekolah ini menarik perhatian pelanggan yang menjamu selera di situ.

Menurut kanak-kanak itu, Yusra Asna Ruslin, 7, dia belajar menebar roti canai daripada ibu bapanya, Ruslin Meli, 45, dan Yuwita Shuib, 35, sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, dia kini sudah mampu menebar antara 50 hingga 60 keping roti canai sehari.

“Saya memang minat tebar roti canai sebab selalu lihat ayah dan mak buat roti canai di kedai makan kami,” katanya ketika ditemui di gerai makan keluarga­nya, Uwita Enterprise di Balai Baru dekat sini semalam.

Menurut pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong itu lagi, pada awalnya, proses menebar roti agak sukar, tetapi lama-kelamaan ia menjadi mudah.

“Saya kemudian beritahu mak dan ayah bahawa saya sudah pandai tebar roti canai dan mahu membantu mereka,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Ujarnya lagi, dia bercita-cita untuk membuka restoran sendiri bersama bapanya suatu hari nanti.

Sementara itu, bapanya, Ruslin berkata, anak perempuannya itu menunjukkan minat untuk mempelajari cara-cara menghasilkan roti canai.

“Mula-mula belajar banyak juga yang rosak, namun Yusra tidak jemu apabila dia banyak belajar dengan ibunya yang juga pandai menebar roti canai.

“Selain itu, ada juga pengunjung termasuk guru sekolah datang memberi sokongan kepada Yusra dan ia memberi keyakinan kepadanya untuk terus belajar,” ujarnya.

Tambah Ruslin lagi, dia membawa tiga anaknya berusia tujuh, lapan dan 14 tahun ke gerai untuk membantunya berniaga agar mereka mempunyai aktiviti dan tidak terlalu lama meluangkan masa bermain telefon bimbit.

Gerai yang dibuka bermula pukul 6 pagi hingga 11 pagi setiap hari kecuali Isnin dan Selasa itu menjual pelbagai juadah berasaskan roti canai seperti roti sanggul, roti telur dan roti sardin selain martabak serta nasi lemak daun pisang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI