MADRID – Real Madrid mengesahkan bahawa mereka tidak lagi berminat untuk berusaha mendapatkan khidmat pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger yang bakal menamatkan kontrak hujung musim ini di Stamford Bridge.
Pemain berusia 28 tahun itu dilaporkan menolak kontrak baharu daripada The Blues kerana tidak berpuas hati dengan gaji mingguan yang diberikan berbanding apa yang dimintanya.
Situasi itu menyebabkan ejen pemain berkenaan cuba mencari destinasi baharu buat Rudiger dan bersedia untuk mengadakan perbincangan bersama beberapa kelab antaranya, Bayern Munich, Paris Saint-Germain dan Juventus.
Pemain berkenaan dilaporkan mahukan jumlah gaji mingguan sebanyak £200,000 (RM1.13 juta) seminggu di Bernebeu menyebabkan kelab itu tidak bersedia memberinya tawaran kontrak.
Selain itu, Ketua Jurulatih Real, Carlo Ancelotti juga dilaporkan gembira dengan prestasi dan persembahan yang diberikan oleh dua pemain pertahanan mereka ketika ini, David Alaba dan Eder Militao.
Situasi itu menyebabkan Real menarik diri daripada perlumbaan mendapatkan Rudiger dan meninggalkan persaingan itu untuk tiga lagi kelab tersebut selain Manchester United juga dilaporkan turut memasang minat.
Bekas pemain AS Roma dan Stuttgart itu bakal mengakhiri tempoh empat tahun setengah di Stamford Bridge selepas membuat 166 penampilan dan meraih kejuaraan Piala FA, Liga Europa dan Liga Juara-Juara bersama pasukan itu. – AGENSI