ALOR SETAR – Polis menyiasat kemungkinan wujud sindiket yang mendalangi kegiatan pengemis jalanan etnik Rohingya di bandar-bandar besar terutama di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengesahkan sama ada wujud penglibatan sindiket dalam kegiatan tersebut.
“Ada kemungkinan (wujud sindiket) tetapi saya tidak boleh (mengesahkan) perkara itu sehingga kita buat tangkapan atau siasatan nanti. Kita juga akan cuba kumpulkan risikan berhubung kegiatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kegiatan etnik Rohingya termasuk dalam kalangan kanak-kanak yang dilihat mengemis di jalanan serta mengganggu pengguna jalan raya.
Terdahulu, Razarudin menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kedah daripada Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Razarudin, polis mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas etnik Rohingya yang didapati mengemis di jalanan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Akta Kesalahan Kecil. – K! ONLINE.