PETALING JAYA – Pengacara Wanita Hati Ini (WHI), Uyaina Arshad menempelak perbuatan individu yang mengecop dirinya sebagai pembawa aura negatif dan menasihatkan agar membersihkan hati sendiri sebelum membuat tuduhan melulu.
Katanya, andai sebelum ini dia hanya mengambil sikap berdiam diri daripada menjawab sebarang kritikan, kali ini dia perlu meluahkan perkara yang dianggap menjadi pematah semangat.
“Saya jarang membalas komen negatif atau komen-komen yang cuba meruntuhkan semangat saya. Pada saya, abaikan adalah jalan terbaik. Tapi, komen kali ini perlukan perhatian.
“Pertama sekali, terima kasih atas ‘teguran’. Di WHI, semua benda kami bincangkan dengan pasukan dan penerbit. Topik yang diberikan membincangkan semua aspek berkaitan dengan topik itu, termasuklah tetamu yang hadir.
“Bukan saya memandai berikan aura negatif seperti yang awak rasa. Kita tak pernah menuding jari kepada sesiapa pun. Kalau ada yang terasa, mungkin kerana siapa makan cili, dia rasa pedas.
“Tak faham, kenapa awak kena tulis begini kepada saya sebab nak sakitkan hati saya atau tak tahulah. Mungkin kena periksa hati awak juga. Semoga Allah permudahkan segalanya untuk awak,” luahnya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 29, itu turut memuat naik mesej langsung individu dimaksudkan itu tanpa memaparkan profil akaun berkenaan.
Dalam tangkap layar tersebut, individu itu menghantar mesej dan menegur gaya pengacaraan bintang Lelaki Kiriman Tuhan yang disifatkan negatif selain memintanya membersihkan hati.
“Bersihkan hati dulu kot, ‘dear’. Apa yang dalam hati you terlalu menyerlah dekat luaran you. Sejujurnya, you tak menarik mengacara,” itu antara mesej diterima.
Pada masa sama, katanya dia tidak pernah memaksa orang untuk menyukainya malah setiap komen diterima dengan hati sepanjang mengendalikan program itu sejak lebih empat tahun lalu.
“Mengenai pengacaraan saya yang awak rasa tak menarik, tak apa pun. Saya terima dengan hati terbuka sebab saya tak pernah paksa orang untuk suka pengacaraan saya atau apa,” luahnya lagi.
Kecaman tersebut dipercayai tercetus susulan daripada isu yang dibincangkan hos berkenaan bersama tetamu jemputan termasuk penyampai radio, Sharifah Shahirah atau Shira yang aktif melaksanakan kerja amal membantu mangsa banjir dalam program WHI, baru-baru ini.
Kupasan tajuk berjudul Mentaliti Banjir itu membawa penonton mendengar pengalaman Shira sepanjang operasi mengumpul serta mengagihkan sumbangan kepada pihak yang memerlukan.
Dalam sesi berkenaan, hos dan panel jemputan diminta mengulas mengenai adab, sama ada dikalangan penyumbang mahu pun penerima selain turut menyentuh sikap memilih sumbangan serta pengalaman berdepan amarah mangsa.
Shira ketika ditanya soalan berkenaan menyatakan dia tiada masa untuk menyalahkan sesiapa sebaliknya cuma mahu berterima kasih kepada semua pihak selain enggan mendengar perkara negatif kerana lebih fokus terhadap misi.
Terdahulu, selain WHI dan pertandingan nyanyian realiti Famili Duo, kredibiliti pelakon tersebut turut menarik perhatian memilihnya stesen TV Indonesia, Indosiar memilihnya sebagai hos Dangdut Academy Asia 4.
Uyaina yang berjaya menerokai pasaran industri hiburan di Indonesia sejak 2018 terutama selepas menjuarai Puteri Muslimah Asia anjuran Indosiar.
Selepas itu dia terus melebarkan langkah di arena pengacaraan di negara tersebut Academi Sahur Indonesia (Aksi) serta program Golden Memories Asia 2019. – K! ONLINE