MADRID – Pasukan Repsol Honda dilaporkan cuba untuk mendapatkan khidmat Joan Mir pada saingan musim 2023 sekiranya pelumba mereka, Marc Marquez masih belum pulih daripada kecederaannya.
Honda dikatakan terdesak dan akan cuba sedaya upaya untuk membawa masuk juara MotoGP 2020 tersebut selepas kontrak Mir akan berakhir hujung musim ini.
Justeru, Honda mahu keputusan tersebut dicapai untuk mengikat kontrak bersama Mir bagi mengelakkan mereka terus gagal mencapai hasil terbaik sekiranya tidak dapat menggunakan khidmat Marquez.
Menurut laporan, perbincangan antara Honda dan Mir akan diadakan sebelum bermulanya saingan MotoGP musim 2022.
“Honda berusaha keras untuk membawa masuk pelumba terbaik iaitu juara dunia dan itu adalah perkara tepat dilakukan pasukan Honda.
“Ada dua nama yang berada dalam radar Honda iaitu Fabio Quartararo (Perancis) dan Mir, tetapi kemungkinan besar Honda mahu Mir kerana harganya lebih murah, selain dia adalah calon tepat.
“Mir telah memperagakan aksi cukup baik dengan membangunkan jentera Suzuki beberapa tahun ini,” kata laporan tersebut.
Dalam pada itu, Marquez yang masih belum pulih 100 peratus pulih dikatakan akan terlepas sesi ujian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan juga di Mandalika, Indonesia.
Perlumbaan pertama MotoGP musim 2022 akan bermula pada 6 Mac di Grand Prix (GP) Qatar dan selepas itu di GP Indonesia pada 22 Mac. – AGENSI