LONG ISLAND, NEW YORK – Seorang guru telah ditahan selepas sebuah klip video tersebar yang menunjukkan dia memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang remaja, lapor akhbar Metro UK semalam.
Laporan mendapati Laura Russo, 54, didakwa memberi suntikan vaksin kepada seorang remaja berusia 17 tahun di rumahnya di Long Island, New York pada malam Tahun Baharu lalu tanpa kebenaran ibubapanya.
Guru Biologi di Sekolah Tinggi Herricks yang tidak mempunyai kelayakan dari segi perubatan itu boleh dipenjarakan selama empat tahun jika sabit kesalahan.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan agensi berita News4, Russo dilihat mengelap bahu remaja lelaki itu sebelum mengambil jarum dan menyuntik sejenis cecair pada lengannya.
“Inilah vaksin di rumah,’’ kata remaja lelaki tersebut yang dipercayai rakan kepada anak guru berkenaan.
Setelah pulang ke rumah, remaja itu mengaku kepada ibu bapanya bahawa dia telah diberi suntikan vaksin.
Menurut polis, tidak jelas bagaimana Russo memperoleh dos vaksin Covid-19 dan jenamanya turut tidak diketahui, jelas agensi berita tersebut.
“Selain menyalahi undang-undang, ia bukan perkara yang bijak untuk dilakukan.
‘’Hanya kakitangan profesional yang diberi kuasa dan berlesen sahaja boleh menyuntik vaksin dengan mengetahui cara suntikan yang betul untuk mengelak sebarang komplikasi yang boleh ditangani dengan segera dan cekap,’’ jelas Ketua Penyakit Berjangkit Hospital Mount Sinai South Nassau, Oceanside, Dr. Aaron Glatt.
Russo didakwa dengan amalan tanpa kebenaran profesion dan akan hadir dibicarakan di mahkamah pada 21 Januari. – Agensi