KUALA LANGAT – Kebijaksanaan pihak polis menangkap seorang pengedar dadah terlebih dahulu sebelum urusan jual beli barangan terlarang itu berjaya menahan 28 penagih dadah dalam operasi di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Klang – Banting, Sri Cheeding, di sini semalam.
Dalam Ops Sarang selama 12 jam bermula 6 pagi itu, polis menahan kesemua suspek lelaki termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh berusia 20 hingga 50 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, operasi itu hasil risikan selama dua hari terhadap kawasan tersebut yang dijadikan sarang penagihan dadah sejak seminggu lalu.
Katanya, pihaknya telah memasuki kawasan tersebut pada awal pagi bagi mengesan dan menangkap pengedar dadah berusia 30 tahun terlebih dahulu.
“Kesemua penagih berkenaan ditangkap secara berperingkat apabila memasuki lokasi tersebut bagi membeli dadah.
“Siasatan mendapati satu straw berisi dadah jenis heroin seberat 0.1 gram (g) dijual pada harga RM60,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kata beliau, hasil operasi itu berjaya merampas sejumlah 24.8 gram dadah jenis heroin dan syabu seberat 0.6g yang dianggarkan bernilai RM500.
Ujarnya, turut dirampas adalah wang tunai RM350 yang merupakan hasil penjualan dadah.
“Ujian air kencing mendapati kesemua suspek yang merupakan penganggur itu positif dadah jenis opiate.
“Mereka kini direman antara empat dan tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” jelasnya.
Beliau menegaskan Ops Sarang itu bertujuan mengesan dan menangkap pengedar dadah di samping dapat menurunkan kadar indeks jenayah.
“Operasi ini juga dapat mempertingkatkan kadar pertuduhan dibawah Seksyen 39C ADB 1952 terhadap para penagih dadah yang berulang,” katanya. – K! ONLINE