JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menahan 1,460 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi 137 serbuan Ops Benteng sepanjang tahun lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, jumlah itu terdiri seramai 1,387 migran dan 73 tekong termasuk 30 warga tempatan.
Menurutnya, baki 43 tekong lagi terdiri daripada 40 warga Indonesia, dua orang Pakistan dan seorang warga Thailand.
“Sepanjang tahun lalu, polis juga merampas tiga buah bot pancung, 22 buah motokar dan masing-masing satu van serta motosikal.
“Sebanyak 29 kertas siasatan dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 di mana 19 berjaya dituduh melibatkan 38 tekong warga Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kok Chin berkata, seramai lima ahli sindiket penyeludupan yang dikenali sebagai Geng Mat Piah dikenakan tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan dikenakan tindakan tahanan di pusat pemulihan khas selama dua tahun.
Jelasnya, Polis Johor akan memperketatkan lagi kawalan kemasukan pendatang migran melalui jalan tidak sah dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).-K! ONLINE