KLANG – Seorang wanita dan teman lelakinya yang mendera kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga mati, dua minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh, M. Sutha, 26, yang merupakan ibu kandung kepada kanak-kanak itu dan S. Davandakumar, 28, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha.
Mengikut pertuduhan, pasangan kekasih itu secara bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas kanak-kanak, K. Nithish, tiga tahun.
Perbuatan itu dilakukan di antara pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang pada 24 Disember lalu di sebuah rumah di Jalan Hulubalang 28, Taman Sentosa di sini.
Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tiada sebarang jaminan dan sebutan semula kes pada 23 Mac depan.
Kosmo! pada 28 Disember tahun lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju di daerah ini baru-baru ini.
Insiden itu terbongkar selepas polis menerima laporan dibuat seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kira-kira pukul 6.20 petang, 24 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki dibawa ibunya ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak
sedarkan diri.
“Pemeriksaan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia dengan kesan lebam pada keseluruhan badannya.
“Susulan itu, polis menahan ibu kandung kanak-kanak itu dan teman lelaki wanita tersebut,” jelasnya. -K!ONLINE