LONDON – Penyerang sensasi Chelsea, Romelu Lukaku digesa agar memohon maaf atas kenyataannya baru-baru ini hingga mengakibatkan pengurus pasukan itu, Thomas Tuchel berdepan situasi sukar.
Rentetan kenyataan panas dilakukannya, bintang Belgium itu tersisih daripada pasukan utama ketika seri 2-2 dengan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) baru-baru ini.
Bagaimanapun, Lukaku dikatakan sudah kembali berlatih bersama rakan sepasukan lain di pusat latihan Chelsea di Cobham, London selepas pertemuannya dengan Tuchel dan pengarah pasukan, Marina Granovskaia dikatakan berjaya mencapai kata putus positif.
Jika Lukaku tampil memohon maaf, Tuchel dijangka tidak keberatan untuk menurunkan penyerang berusia 28 tahun itu dalam kesebelasan utama.
Tidak mustahil juga Lukaku bakal diturunkan untuk aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Tottenham Hotspur di Stamford Bridge awal pagi esok.
Difahamkan, Lukaku langsung tidak berniat untuk mencetuskan kontroversi, malah Chelsea juga ketika ini belum membuat sebarang keputusan mengenai bentuk hukuman yang bakal diberikan kepada bekas penyerang Inter Milan itu.
Lukaku juga mengakui, terkejut dan tidak menjangka impak daripada temu bualnya bersama wartawan Itali baru-baru ini mampu ‘menggegar’ arena bola sepak di England, namun situasi terkini dilihat semakin positif antara kedua-dua pihak.
Sebagai rekod, Lukaku dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktikal baharu Tuchel yang menyaksikan dia sekadar meledak tujuh gol daripada 18 perlawanan dalam semua kejohanan bersama The Blues musim ini. – AGENSI