LONDON – Arsenal dilaporkan berpotensi besar untuk menewaskan Barcelona dalam perlumbaan mendapatkan penyerang Real Sociedad, Alexander Isak.
Penyerang Sweden berusia 22 tahun itu menjadi salah satu calon pengganti kepada dua penggempur Arsenal, Alexander Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang yang sedia dilepaskan oleh kelab itu.
Selepas berjaya mendapatkan Ferran Torres dari Manchester City, Barcelona dilaporkan bersedia untuk menambah kekuatan jentera serangan mereka dengan turut menjadikan Isak sebagai sasaran.
Bagaimanapun, laporan di Sepanyol menyebut bahawa Sociedad enggan melepaskan tonggak pentingnya itu ketika mereka memasang impian untuk menamatkan musim ini dalam kedudukan empat pasukan teratas.
Sociedad yang berang dengan cubaan Barcelona itu menyatakan bahawa pemainnya itu memiliki klausa pelepasan bernilai £75 juta (RM422.35 juta) dan percaya Barcelona tidak mampu untuk membayarnya ketika berdepan masalah kewangan ketika ini.
Bagaimanapun, Arsenal percaya mereka mampu mengadakan rundingan bersama Sociedad untuk mendapatkan harga yang lebih rendah dan memuktamadkan perjanjian untuk membawa Isak ke Emirates.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ketika ini mengesahkan bahawa Aubameyang tidak akan lagi berada dalam perancangannya, manakala Lacazette pula mahu beralih angin menyertai pasukan baharu.
Situasi itu menyebabkan Arsenal perlu segera mendapatkan penyerang gantian dan Isak memiliki reputasi yang baik bersama Sociedad selain berjaya meledak sembilan gol bersama skuad kebangsaannya. – AGENSI