PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Zulin Aziz meluahkan kebimbangan sekiranya dijangkiti wabak maut Covid-19 sejak pulang dari mengerjakan umrah Sabtu lalu.
Zulin ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia kini sedang menjalani kuarantin dan masih menunggu keputusan ujian calitan yang dilakukan di lapangan terbang sebelum ini.
Katanya, dia juga sudah melakukan kit ujian kendiri Covid-19 (RTK) air liur dan hasilnya negatif.
“Buat masa ini, saya masih lagi menantikan keputusan ujian calitan yang dilakukan semasa tiba di Kuala Lumpur minggu lalu. Mungkin hari ini atau esok dapatlah keputusan.
“Saya ada juga buat ujian calitan sendiri di rumah tapi keputusannya negatif. Harap sangat tak positif Covid-19. Tapi kalau dah tertulis, kita reda sajalah.
“Sekarang ini jangan kata minyak wangi, tahi kucing dalam rumah pun tak bau,” katanya.
Terdahulu, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 32, memuat naik hantaran dalam Instagram memberitahu keadaan dirinya yang kini sudah hilang deria bau selepas empat hari menjalani kuarantin di rumah.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti mendoakan agar bekas penyampai radio Suria FM itu segera sembuh seperti sedia kala.
Untuk rekod, Zulin berangkat mengerjakan umrah pada 21 Disember lalu dan selamat pulang ke tanah air pada 1 Januari serta sedang menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.
Kosmo! semalam ini melaporkan sebanyak 58 kes baharu positif Covid-19 disahkan varian Omicron dan daripada jumlah tersebut, 54 kes merupakan jangkitan import sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes Omicron di Malaysia sebanyak 122 kes. – K! ONLINE