fbpx

Skim elaun atlet negara dinilai semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD SHAPAWI

MAJLIS Sukan Negara (MSN) terpaksa melakukan penstrukturan semula skim bayaran elaun latihan bagi atlet yang ditawarkan kontrak baharu pada musim 2022 berikutan kekangan peruntukan kewangan daripada kerajaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, tindakan itu dilakukan selepas negara memerlukan peruntukkan besar untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan bencana alam.

Justeru itu, Ahmad Shapawi menjelaskan terdapat perubahan dibawah skim latihan atlet dan pihaknya terpaksa melakukan penyelarasan.

“Negara dalam keadaan pemulihan negara jadi terdapat perubahan yang kita lakukan namun perkara paling utama adalah kebajikan atlet, latihan dan penyertaan atlet dijaga dengan baik.

“Namun, terdapat perubahan dari skim bayaran elaun atlet pada 2022 ini dimana pembayaran akan dibuat berdasarkan pencapaian atlet di empat temasya utama iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Sebelum ini atlet memenangi pingat gangsa (Sukan SEA) akan menerima kadar yang sama dengan emas sekali gus menimbulkan banyak kegusaran dalam kalangan atlet.

“Jadi, kita balik kembali kepada skim yang lama iaitu elaun berdasarkan prestasi.Kalau mereka meraih pingat gangsa, elaun juga bersesuaian dengan gangsa.

“Memang akan terdapat sedikit pengurangan tetapi ia lebih bersesuaian dengan prestasi mereka,” katanya.

Bagi atlet yang memenangi emas Sukan SEA, mereka akan menerima bayaran elaun sebanyak RM2,000 manakala atlet yang meraih pingat gangsa akan menerima RM800.

Untuk temasya Sukan Komanwel dan Asia, pemenang emas akan menerima RM4,500 manakala perak RM4,000 dan gangsa RM3,500.

Pemenang emas Sukan Olimpik pula akan menerima bayaran elaun RM7,500 manakala perak RM7,000 dan gangsa RM6,500.

Dalam pada itu, Shapawi, berkata secara keseluruhan sebanyak RM27.5 juta peruntukan disediakan bagi membiayai program latihan atlet bagi tahun ini.

Susulan peruntukan kewangan yang terhad, MSN terpaksa mengurangkan penyertaan atlet dalam program latihan tahun ini dengan hanya 248 ditawarkan kontrak baharu berbanding 432 tahun lalu.

Atlet para pula, sebanyak 45 atlet dipilih meneruskan program tahun ini berbanding 114 pada tahun lalu manakala sebanyak 178 atlet pelapis ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 tahun lalu dan 22 bagi atlet pelapis para.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI