KLANG – Seorang parah manakala dua cedera ringan selepas kenderaan dinaiki terhumban setinggi tiga meter ke bawah jambatan Sungai Klang berhampiran sebuah kompleks beli-belah di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.18 tengah malam, kesemua mangsa lelaki berusia 30-an.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja bersama dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 12.20 tengah malam.
Katanya, berdasarkan maklumat kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu telah terbabas dan terjatuh dari jambatan dengan ketinggian tiga meter.
“Ketiga-tiga mangsa keluar sendiri sebelum pihak bomba tiba pukul 12.26 tengah malam.
“Dua mangsa cedera ringan manakala seorang lagi dipercayai cedera parah di bahagian dalaman telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. -K!ONLINE