PETALING JAYA – Tidak lagi aktif dalam dunia nyanyian dangdut, penyanyi yang kini bergelar pendakwah, Iwan Syahman bagaimanapun tidak menafikan pernah terdetik di hati merindukan zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.
Pemilik nama lengkap Wan Syahman Wan Yunus itu berkata, dia bersyukur kerana urusan dirinya untuk mendekatkan diri dengan agama dipermudahkan Allah SWT.
“Sebenarnya, kalau difikirkan balik, memang rindu.
“Tapi, semua itu hanya keseronokan dunia dan alhamdulillah, sehingga ke saat ini, Allah bagi saya kekuatan.
“Walaupun saya menginginkan tapi Allah tak mengizinkan lagi saya pergi ke sana ke sini macam dulu (sewaktu aktif menyanyi dangdut),” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Tambah figura yang pernah dilabel sebagai Raja Dangdut Malaysia itu lagi, urusan dakwahnya dipermudahkan sejak mula perlahan-lahan meninggalkan dunia glamor yang pernah menjadi punca rezeki utamanya.
“Kalau tanya saya susah atau tidak nak lepaskan semuanya yang saya ada, jawapannya memang susah.
“Tapi Alhamdulillah, saya masih ingat lagi waktu mula-mula keluar berdakwah.
“40 hari pertama keluar berdakwah, Allah bagi saya kekuatan lepaskan semuanya.
“Tahun 2013, 40 hari pertama saya keluar (berdakwah), kemudian 40 hari kedua saya keluar. Kemudian empat bulan saya keluar pergi India, Pakistan dan Bangladesh,” katanya.
Ujar pelantun lagu Yang Sedang-Sedang Saja itu, dia ingin mengikut jejak langkah sahabat-sahabat Rasulullah berdakwah ke serata dunia demi Islam.
“Syahid di mana-mana dan inilah destinasi kita. Nak ikut macam mana sahabat-sahabat buat.
“Sebab apa, barangsiapa yang ikut satu kaum dalam hadis baginda Rasulullah, maka nescaya akan dibangkitkan bersama kaum itu,” tuturnya.
Iwan cukup terkenal dengan muzik dangdut pada era 1990-an namun bermula tahun 2009, dia bergerak ke arah genre nasyid dan kini, semakin lazim dengan urusan dakwah menyebarkan syiar Islam. – K! ONLINE