fbpx

PDRM cadang tempatkan 5 bot di 157 IPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelamat membantu memindahkan seorang wanita bersama dua anaknya selepas rumah mereka ditenggelami banjir di Segamat, Johor. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk menambah fasiliti keselamatan dengan menempatkan lima buah bot di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, penambahan tersebut bagi memudahkan pasukan keselamatan bertindak.

“Kami akan hantar cadangan ini ke pihak kerajaan bagi menempatkan sekurang-kurangnya lima buah bot di 157 IPD.

“Perkara ini bagi memudahkan pasukan tindak pantas bergerak ke lokasi bencana jika berlaku pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, jelasnya, jumlah keseluruhan mangsa banjir direkodkan seramai 505,069 bermula dari 10 November 2021 hingga semalam.

Katanya, bagi situasi terkini, setakat pukul 12 tengah hari tadi seramai 13,322 mangsa banjir dicatatkan melibatkan tujuh negeri dengan 172 pusat pemindahan sementara yang masih aktif.

“Selain itu, seramai 54 orang jumlah kematian direkodkan setakat ini dengan negeri Selangor tertinggi sebanyak 25 mangsa, Pahang (21), Kelantan (4), Sabah (3) dan Negeri Sembilan (1), sementara dua orang lagi masih hilang,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, situasi banjir di Segamat, Johor, masih lagi terkawal walaupun empat kampung terputus hubungan.

“Kampung Lubuk Lanjut, Kampung Spang Loi, Kampung Mensudot Pindah dan Kampung Batu 10 telah ditenggalami air.

“Pihak polis telah menggerakkan sebuah helikopter jenis Eurocopter AS355 bagi memudahkan operasi bantuan kepada penduduk-penduduk kampung tersebut yang terkandas,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI