PUTRAJAYA – Identiti wanita yang mayatnya ditemukan terapung di tasik berhadapan Skyrides, Presint 2 di sini Sabtu lalu, disyaki warga Vietnam berdasarkan keterangan daripada seorang individu dipercayai rakannya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, polis dari Balai Polis Sungai Long menerima panggilan daripada seorang individu dikatakan rakannya yang juga warga Vietnam pada kelmarin.
Menurutnya, saksi tersebut dimaklumkan oleh rakan serumah si mati pada 29 Disember lalu yang memberitahu, si mati keluar dari rumah dengan membawa beg tangan dan selepas itu tiada perkhabaran mengenainya.
“Dalam masa sama, saksi menerima tangkap layar aplikasi WeChat dari kawan si mati yang berada di Vietnam semalam mengatakan, pada 29 Disember lalu si mati mengambil Grab pergi ke satu tempat yang ada air dan hendak terjun. Namun, tidak diketahui masalah peribadi si mati.
“Berdasarkan pengecaman barangan milik si mati, identitinya dikenali sebagai Tran Ai Lien berusia 26 tahun. Bagaimanapun, pengesahan secara rasmi hanya selepas pengecaman waris terdekat dan perbandingan sampel DNA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, saksi tersebut memberitahu dia mengenali si mati kira-kira empat bulan lalu selepas membantunya mencari rumah sewa dan seterusnya, si mati menyewa bersama seorang wanita Vietnam.
“Selain itu, berkenaan tatu pula, saksi tersebut mengetahuinya setelah berhubung dengan ibu bapa si mati. Si mati turut mempunyai ibu saudara tinggal di Behrang, Perak yang telah berkahwin dengan warga tempatan.
“Mengikut rakaman keterangan ibu saudaranya, kali terakhir dia berjumpa wanita tersebut di sebuah kedai tom yam di Puchong, Selangor pada bulan lalu serta berhubung dengannya melalui Facebook pada 29 Disember, namun dia tidak mengatakan apa-apa masalah,” ujarnya.
A. Asmadi berkata, susulan itu, polis melakukan pemeriksaan ke rumah si mati yang diduduki bersama seorang wanita Vietnam dan hasil temu bual termasuk teman lelaki rakan serumahnya yang berada di situ ketika itu, kali terakhir mereka melihat si mati pada 29 Disember pukul 10.48 malam.
“Dia memaklumkan hendak keluar berjumpa kawan tetapi tidak memberitahu siapa individu tersebut. Sebelum keluar, si mati ada beritahu bahawa pada 30 Disember, dia akan ke restoran kawan yang baharu dibuka di Sri Petaling.
“Pemeriksaan bilik si mati terdapat beberapa dokumen seperti tiket penerbangan lama, beberapa resit, pakaian, ubat-ubatan dan satu telefon bimbit jenis iPhone tertera gambar si mati tanpa simkad. Susulan itu, polis merampas telefon tersebut, tiket penerbangan atas namanya dan beberapa resit,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, kali terakhir wanita tersebut keluar dari kediaman pada 29 Disember pukul 10.48 malam serta tidak kelihatan kenderaan yang dinaikinya.
“Semakan imigresen juga mendapati, wanita tersebut masuk ke negara ini pada 2 Mac 2020 melalui Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang dan tiada rekod keluar,” katanya. – K! ONLINE