JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali mencatatkan peningkatan dengan seramai 5,486 mangsa dipindahkan setakat pukul 12 tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 1,456 keluarga yang ditempatkan di 80 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh buah daerah yang terjejas.
Katanya, daerah yang masih terjejas dengan bencana banjir itu ialah Segamat, Mersing, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kluang.
“Mengikut laporan tengah malam tadi, jumlah mangsa berkurangan daripada 5,923 mangsa yang dicatatkan pada pukul 8 malam kepada 5,366 mangsa.
“Namun, jumlah mangsa yang terjejas itu kembali meningkat dari semasa ke semasa sehingga merekodkan 5,486 mangsa pada 12 tengah hari ini.
“Segamat masih merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan seramai 3,817 mangsa daripada 1,017 keluarga ditempatkan di 50 PPS di daerah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, Tangkak turut mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tinggi iaitu 598 mangsa diikuti Mersing (470), Muar (235), Kota Tinggi (131), Kluang (124) dan Batu Pahat (111). – K! ONLINE.