PUTRAJAYA – Pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari gagal mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk mengetepikan sabitan dan denda RM5,500 yang dikenakan terhadapnya atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan dalam insiden di sebuah balai polis trafik empat tahun lalu.
Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas menolak permohonan Farid, 40 selaku pemohon.
Dalam penghakimannya, panel tersebut berpendapat bahawa permohonan selebriti itu tiada merit selain turut menolak persoalan undang-undang yang dibangkitkan.
Pada Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid selepas didapati bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan itu terhadap Farid bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang mana kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Farid didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, Petaling Jaya pukul 1.20 petang pada 11 Januari 2018.
Bagaimanapun pada 23 Ogos tahun lalu (2021) Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan melibatkan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000 manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.
Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mahkamah mengambil kira perayu telah membayar pampasan dalam bentuk kompaun kepada pihak- pihak termasuk anggota polis telibat dalam kejadian itu.
Sementara itu, dalam prosiding sama panel tiga hakim turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan lanjutan masa pemfailan petisyen rayuan terhadap hukuman di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 atas alasan pihak pendakwaan tidak menyatakan sebab yang mencukupi bagi menyokong permohonannya (lanjutan masa).
Justeru, pihak pendakwaan hanya akan meneruskan rayuan silangnya terhadap denda RM5,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Farid atas kesalahan melibatkan kekerasan jenayah yang mana pendakwaan tidak berpuas hati dengan hukuman denda itu.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah dan Zaki Asyraf Zubir manakala Farid diwakili peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke. – K! ONLINE