IPOH – Seramai 396,970 penduduk negeri ini atau kira-kira 21.3 peratus telah menerima suntikan dos penggalak sebagai langkah mencegah jangkitan Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains dan Alam Sekitar negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, jumlah tersebut direkodkan sehingga Sabtu lalu.
Sehubungan itu katanya, rakyat Perak yang layak disaran supaya mendapatkan suntikan dos penggalak apabila menerima tarikh janji temu menerusi MySejahtera.
“Jumlah kumulatif (peratusan) pemberian dos penggalak yang diterima daripada mengikut negeri setakat 2 Januari 2022
“Jika terima janji temu, sila hadir untuk mendapatkan suntikan dos penggalak sebagai langkah mencegah jangkitan Covid-19,” ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook rasmi beliau.
Menurut Mohd. Akmal, bagi penerima dos penggalak yang layak selepas sela masa tiga bulan menerima vaksin primer akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan panggilan telefon dari klinik kesihatan.
“Seperti yang kita maklum, varian terbaru Omicron telah mencatatkan dua kes di Perak, jadi langkah pengawalan penularan wabak ini dipertingkatkan selari dengan kenyataan Menteri Kesihatan.
“Saya ingin menasihatkan pada semua masyarakat agar sentiasa patuh pada arahan yang ditetapkan dan mengamalkan norma baharu serta sentiasa disiplinkan diri dengan memakai pelitup muka di tempat awam,” ujarnya. – K! ONLINE.