BACHOK – Nelayan di sekitar Pantai Melawi di sini mencari alternatif lain untuk meraih sumber pendapatan apabila mereka menangkap ikan belanak di tepi pantai ketika laut bergelora.
Selain boleh dijual, ikan itu turut menjadi lauk-pauk kepada ahli keluarga mereka selepas nelayan tidak dapat turun ke laut sejak beberapa bulan lalu.
Seorang penduduk, Awang Lah Ismail, 57, berkata, lambakan ikan belanak boleh ditemui di pantai itu setiap tahun semasa musim tengkujuh bermula Disember hingga Februari.
Katanya, ikan belanak semakin banyak apabila keadaan ombak besar di Pantai Melawi sekali gus menjadi lubuk rezeki kepada penduduk yang menggunakan sauk bersaiz besar untuk menangkap ikan itu.
“Meskipun perlu berdepan dengan ombak besar, penduduk sentiasa mengutamakan keselamatan mereka semasa menangkap ikan. Jika ombak terlalu besar, mereka tidak akan pergi ke pesisir pantai,” katanya ketika ditemui Kosmo! kelmarin.
Mohd. Nor Awang, 38, pula berkata, dia mula menyauk ikan belanak hujung tahun lalu kerana tidak dapat turun ke laut semasa musim tengkujuh.
“Setiap kali saya turun ke pesisiran pantai, sebanyak 10 hingga 15 kilogram ikan belanak berjaya ditangkap. Ia akan dijual kepada peraih pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram bergantung kepada saiz ikan.
“Saya menghasilkan sendiri sauk menggunakan pukat tangsi, kayu pemegang dan kepingan buluh dengan hanya bermodalkan RM50. Teknik menangkap ikan seperti ini turut popular di Thailand dan Indonesia,” katanya.