HAMPIR setiap tahun, ada sahaja kisah hangat yang membuka tirai tahun baharu dengan pendedahan eksklusif tentang hubungan cinta yang terjalin antara selebriti K-pop.
Awal tahun ini menyaksikan, penyanyi daripada kumpulan T-ara iaitu Hyomin menjadi tumpuan selepas portal Sports Chosun mendedahkan hubungannya dengan seorang pemain bola sepak, Hwang Ui-jo.
Dalam laporan lain, beberapa keping gambar pasangan itu meluangkan masa bersama di Switzerland pada Disember lalu juga tersebar. Ketika itu, pasukan liga Perancis yang disertai Ui-jo sedang bercuti selama dua minggu.
Kenalan pasangan itu dalam satu kenyataan berkata, Ui-jo dan Hyomin menjalin hubungan cinta seperti sahabat baik.
“Mereka sangat matang. Jadi kedua-duanya sangat menjaga dan menghormati batas serta urusan peribadi masing-masing,” katanya.
Hyomin dan Ui-jo mula menjalin cinta sejak November lalu. Bagaimanapun, mereka bercinta secara jarak jauh memandangkan Ui-jo tinggal di Perancis.