PETALING JAYA – Pelakon Ezzaty Abdullah mengumumkan dirinya kini sedang hamil lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya Februari depan.
Ezzaty memaklumkan khabar gembira tersebut menerusi hantaran terbaru dalam Instagramnya.
“Next month (bulan depan) bertambah bilangan keluarga kami. Insya-Allah,” tulisnya ringkas sebagai kapsyen pada foto dia dan ahli keluarga kecilnya itu.
Menjengah ruangan komen, hantaran pelakon siri KL Gangster: Underworld itu rata-rata dihujani ucapan tahniah daripada pengikut dan rakan selebriti.
“Tahniah dan alhamdulillah. Semoga Allah permudahkan urusan bersalin nanti buat Ezzaty.
“Tak sabarnya nak tunggu anak kedua akak lahir. Lepas ni Harum (anak sulung) dah jadi kakak. Kena tolong ibu jaga adik nanti,” tulis netizen.
Berkongsi lanjut, isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu berkata, dia turut mengalami alahan teruk pada peringkat awal kehamilan.
“Masa empat bulan pertama tu teruk juga rasa tak selesa. Tak boleh berdiri, tak boleh duduk. Tak sampai lima minit berdiri, perut rasa sakit macam kena serang gastrik.
“Empat bulan jugalah saya merana. Tiap malam memang susah nak tidur dan biasa nak dekat subuh baru boleh lena,” katanya.
Untuk rekod, Ezzaty mendirikan rumah tangga dengan Azwan pada 16 Julai 2016.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Harum Dalia yang kini berusia lima tahun. – K! ONLINE