PETALING JAYA – Buaya sepanjang kira-kira dua meter berjaya ditangkap pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bersama penduduk di Kampung Spaoh, Sarawak semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.45 malam.
“Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan kekuatan seramai empat anggota bersama dua kenderaan iaitu satu pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dan sebuah van bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati seekor buaya lebih kurang dua meter panjang berada di dalam parit dan berjaya ditangkap oleh seramai enam orang pasukan Rela bersama penduduk kampung dengan menggunakan tali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, buaya itu kemudian dibawa ke BBP Betong untuk diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation Kuching (SFC) nanti. – K! ONLINE