SHAH ALAM – Kutipan sampah pasca banjir di seluruh Selangor dijangka selesai sepenuhnya pada Sabtu ini.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd. Tahir berkata, setakat ini sebanyak 44,500 tan metrik sampah telah dikutip sejak 25 Disember lalu di lapan daerah termasuk di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.
Katanya, kutipan sampah di lima daerah sudah selesai sepenuhnya iaitu di Kajang, Sepang, Petaling Jaya, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
“Kini, hanya tiga daerah belum habis dikutip iaitu Klang, Subang Jaya dan Shah Alam termasuk lokasi paling terjejas teruk iaitu Taman Sri Muda.
“Namun, kutipan ketika ini memasuki tahap 90 peratus dan kita menjangkakan ia selesai pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Muda di sini, hari ini.
Jelas Ramli, KDEBWM menggunakan lebih 200 lori dan jentera pengorek untuk mengutip 3,000 tan sampah setiap hari selain menyewa sebanyak 80 lori persendirian bagi memastikan kelancaran operasi kutipan. -K! ONLINE