ASUNCION, PARAGUAY – Seorang askar Paraguay maut selepas diserang seekor rusa di taman istana Presiden negara itu, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Sarjan Victor Isasi, 42, meninggal dunia akibat kecederaan terkena tusukan tanduk rusa tersebut, kata pihak tentera.
Rusa import itu dihadiahkan kepada kediaman Presiden Paraguay yang terletak dekat ibu negara, Asuncion.
Jurucakap tentera berkata, rusa itu biasanya ditempatkan di kawasan berasingan bersama haiwan liar lain dan tidak sepatutnya bersentuhan dengan manusia.
Kejadian itu dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang menyaksikan mangsa menghampiri rusa berkenaan sebelum diserang. Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital tentera.
“Menerusi CCTV, anda boleh lihat sarjan itu memasuki tempat rusa itu berada dan mengangkat tangannya yang mengundang reaksi haiwan tersebut,’’ kata jurucakap tentera, Kolonel Victor Urdapilleta.
Tambahnya, sarjan itu sedang melakukan rondaan rutin ketika serangan berlaku awal semalam.
Haiwan itu adalah rusa paksi dari India. Ia adalah antara sejumlah haiwan yang dipelihara di taman seluas 10 hektar tersebut di kediaman rasmi Presiden Mario Abdo Benitez. – Agensi