PARIS – Amerika Syarikat(AS), Britain, Perancis dan Australia mengumumkan rekod baharu kes harian Covid-19 kelmarin ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa penularan pantas Omicron meningkatkan risiko varian baharu lebih berbahaya muncul.
Britain melepasi angka 200,000 kes harian untuk kali pertama kelmarin, manakala Perancis mencatat lebih 270,000 kes diikuti oleh Australia dengan hampir 50,000 kes. Angka tersebut mengatasi rekod sebelum ini di tiga negara berkenaan.
Bagaimanapun, AS mencatat rekod dunia pada Isnin lalu dengan 1,080,211 jangkitan harian.
Varian Omicron yang paling banyak bermutasi dan paling mudah berjangkit setakat ini, menyumbang kepada 59 peratus kes Covid-19 di AS menjelang akhir tahun lalu.
Kadar kematian dan kemasukan ke hospital akibat Omicron adalah lebih rendah di seluruh dunia sekali gus meningkatkan harapan virus itu akan berevolusi dan menjadi kurang berbahaya seperti selesema biasa.
Bagaimanapun, WHO dan Eropah memberi amaran bahawa peningkatan mendadak jangkitan membawa kesan sebaliknya.
“Lebih banyak Omicron menular, lebih berpotensi ia menghasilkan varian baharu,” kata Pegawai Kanan Kecemasan WHO, Catherine Smallwood.
Dalam perkembangan berkaitan, Cyprus turut melaporkan jangkitan tertinggi sebanyak 5,457 kes kelmarin.
Perkembangan itu berlaku ketika negara-negara kaya bergegas memberikan suntikan dos penggalak kepada rakyat masing-masing sedangkan masih ramai penduduk negara miskin belum menerima dos pertama mereka. – AFP